Press Release, 27 August 2024
SARIKEI, 24 OGOS 2024 (Sabtu) : MDS telah mengadakan Community Engagement Programme di Rh. Mawas anak Timbu, Jalan Bayong, Ulu Sarikei. Program ini dijayakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, NGOs, penduduk rumah panjang serta komuniti dari rumah-rumah panjang berdekatan. Kr. Iskandar bin Naziri, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola memberitahu objektif program ini adalah untuk memperkasakan komuniti bagi memastikan kemandirian masyarakat. Program ini juga dapat mengalakkan kehidupan yang sihat dan harmoni di samping meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat. Selain itu, mendidik masyarakat tentang kepentingan dan kaedah menjaga kebersihan persekitaran dan keselamatan. Pengisian program pada hari tersebut adalah seperti Ceramah Pengurusan Sampah yang Baik dan Betul oleh Majlis Daerah Sarikei, Ceramah Kawalan Rabies oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarikei, Ceramah Penyakit Denggi oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, Ceramah Pencegahan Kebakaran dan Peranan Komuniti oleh Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Ceramah Trend Terkini Jenayah Komersil dan Ceramah Penyalahgunaan Dadah serta Bahaya Penggunaan Rokok Elektrik yang Mengandungi Cecair Dadah oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dan Veteran serta Jom Membaca 10 Minit oleh Perpustakaan Awam Sarikei, Pameran Wau/Gudi oleh Kelab Gudi Sarikei (KEGUSA), saringan kesihatan, kaunter khidmat pelanggan dan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan & NGOs. Majlis penutupan rasmi telah dsempurnakan oleh Kr. Ling Chai Yun wakil kepada Yang Berhormat Dato' Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen P.208 dan ADUN N.45 Repok. Turut hadir bersama Kr. Wong Zee Yeng, Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Tuan Mahmudin Narudin, Ketua Balai BBP Sarikei, ASP Mohd Alime Mazlan AB Rahman, wakil Ketua Polis Daerah Sarikei, Dr. Koh Yih Seng, wakil Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, Pn. Michelliney anak Mijen, wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sarikei, Kapitan Ling Dien Yong, Ahli-Ahli Majlis, Tuai-Tuai Rumah dan penduduk berdekatan.
Press Release, 02 November 2023
KHAMIS, 2 NOVEMBER 2023 - SARIKEI: Kr Wong Zee Yeng, Pengerusi MDS mewakili YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merangkap Ahli Parlimen P.208 Sarikei dan ADUN N.45 Repok bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Awam, Kawalan Bangunan & Pengurusan Lalu Lintas MDS telah merasmikan lampu isyarat di persimpangan masuk ke Hospital Sarikei, Jalan Rentap pada petang ini. Kr Wong berkata pelaksanaan projek ini menelan kos sebanyak RM 380,000 dan dibiayai oleh Kerajaan Negeri di bawah peruntukkan RMK12 dan dilaksanakan oleh MDS. Projek ini telah dilaksanakan sejak 1hb Ogos 2023 dan telah siap pada 1hb November 2023. Beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meluluskan peruntukan dan juga kepada YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merangkap Ahli Parlimen P.208 Sarikei dan ADUN N.45 Repok atas usaha berterusan membantu dalam menyuarakan keluhan rakyat akar umbi. Kr. Wong Zee Yeng berharap dengan adanya lampu isyarat pintar ini, keselamatan orang awam dan pengguna jalan raya dapat dipertingkatkan khususnya kepada pemandu ambulan semasa kecemasan kerana lampu isyarat ini dilengkapi dengan alat kawalan pintar yang menggunakan sistem SCATS, dimana aliran lampu isyarat dapat dikawal dari bilik kawalan kecemasan hospital. Selain itu turut di pasang adalah papan tanda had laju digital sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan apabila hendak menghampiri simpang hospital. Pengarah Hospital, Dr Mohamad Ng Siah Huat memberitahu bahawa dia sangat teruja dengan adanya lampu isyarat pintar ini, bukan sahaja kerana ianya yang pertama di Sarawak malah diharapkan dapat melancarkan perjalanan ambulan semasa kecemasan bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan segera. Turut hadir bersama En. Donald Gani, wakil Residen Sarikei, Kr. Misiah binti Abu Seman, Timbalan Pengerusi MDS, En. Sait Enggang, Setiausaha MDS, Kr. Gilbert Wong selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Awam, Kawalan Bangunan & Pengurusan Lalu Lintas MDS, Inspektor Ahmad Mustaqim bin Idris, wakil Ketua Cawangan Trafik IPD Sarikei, Dr. Yang Xiang Yun, Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Sarikei, Ahli-Ahli Majlis, Seri Teknik Sdn Bhd, kakitangan MDS dan kakitangan Jabatan Kecemasan Hospital Sarikei.
Press Release, 18 January 2024
Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak telah mengadakan Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Tahun 2023 di Zon Sibu dan Zon Sarikei dengan kerjasama Fraser & Neave (F&N) Bhd, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Majlis Daerah Sarikei dan Majlis Daerah Maradong dan Julau pada 26 Jun 2023 hingga 25 Disember 2023. Sebanyak 22 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah telah menyertai pertandingan tersebut. Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Tahun 2023 Bagi Zon Sibu dan Zon Sarikei telah diadakan pada 17 Januari 2024 di Kompleks Islam Sibu dan disempurnakan oleh YB Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak. Sementara itu, dua (2) buah sekolah rendah di bawah pentadbiran MDS telah berjaya mengharumkan nama Sarikei di mana Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ming Tak telah memenangi Tempat Pertama dengan hadiah wang tunai RM1,000.00 dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hien telah memenangi Tempat Kedua dengan hadiah wang tunai RM800.00. MDS ingin merakamkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua sekolah di kawasan pentadbiran MDS yang turut serta dalam menjayakan program Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Zon Sibu dan Sarikei bagi tahun 2023. Adalah menjadi harapan MDS agar tahun 2024 akan lebih banyak lagi penyertaan dalam program ini sebagai usaha memupuk dan menyemai sikap cintai alam sekitar serta sebagai langkah menangani fenomena perubahan iklim, mewujudkan bandar dan komuniti mampan selaras dengan matlamat pembangunan mampan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan Iklim).
Press Release, 22 November 2023
SABTU, 18 NOVEMBER 2023 SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei telah mengadakan sambutan Hari Integriti dan Inovasi 2023 peringkat Majlis Daerah Sarikei di Dewan Majlis Daerah Sarikei. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Kr. Wong Zee Yeng, Pengerusi MD Sarikei. Kr. Wong Zee Yeng menyeru dan mengingatkan semua Ahli-Ahli Majlis dan kakitangan supaya menyemai dan mengamalkan sikap integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tugasan dan amanah yang diberikan. Meskipun Hari Integriti disambut secara sederhana namun ianya merupakan langkah ke arah pembudayaan amalan integriti dalam organisasi, kerana dengan nilai integriti yang tinggi ianya akan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan organisasi dalam menyediakan perkhidmatan. Beliau juga turut mengucapkan tahniah di atas pencapaian cemerlang kumpulan D6 Force yang telah berjaya mendapat empat (4) bintang di Konvensyen SCSICA pada Oktober lepas melalui projek mereka iaitu Sm@rt P. Beliau berharap agar semua warga kerja MDS teruskan usaha dan budaya berinovasi bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada komuniti Daerah Sarikei dengan menghasilkan produk yang kreatif bagi memudahkan urusan kerja (ease of doing business). Selain daripada perkongsian pencapaian inisiatif-inisiatif OACP, Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai oleh Encik Bobari Bilong Nelson, CeIO serta simbolik menandatangani IBR oleh Pengerusi dan Setiausaha Majlis, turut diadakan adalah Pameran Produk dan Video persembahan oleh kumpulan Kreatif & Inovatif (KIK) MDS. Turut hadir ke sambutan Hari Integriti dan Inovasi ialah Timbalan Pengerusi Majlis, Kr. Misiah binti Abu Seman, Ahli-Ahli Majlis, kakitangan dan Penyelaras Program, Cik Susana Ubong Johnny.
Press Release, 18 January 2024
Khamis, 18 Januari 2024 – Sarikei: Pengerusi Jawatankuasa Kerja Awam, Kawalan Bangunan dan Pengurusan Trafik, Kr. Gilbert Wong Sii Chung turun padang untuk melihat sendiri aduan dan permintaan orang ramai untuk membaiki Expansion Joint yang rosak di Jambatan Sungai Sarikei, Jalan Baji/Sentebu. Hasil daripada tinjauan tersebut, pihak Majlis akan mengambil tindakan sewajarnya iaitu membuat proses perolehan kerja untuk membaiki Expansion Joint yang didapati dalam keadaan yang agak uzur. Sementara itu, pihak MDS turut mengingatkan orang ramai yang menggunakan jambatan tersebut supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada. Turut bersama beliau semasa tinjauan adalah Kr. Iskandar Naziri, Kr. Ling Chai Yun, Kr. Joan Chan dan Jurutera MDS. Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali.
Press Release, 15 February 2024
KHAMIS, 8 FEB 2024: Majlis Daerah Sarikei melakar sejarah dan kejayaan apabila buat julung kalinya menerima Anugerah Emas bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS). Anugerah disampaikan sempena Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), Kuching pada 7 Februari 2024 (Rabu) yang mana Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Hj Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Hj Openg. Bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak enam(6) buah PBT telah terpilih ke peringkat akhir (finalis). Anugerah Perak dimenangi oleh Majlis Perbandaran Padawan dan Anugerah Gangsa dimenangi oleh Majlis Daerah Lundu.
Press Release, 05 February 2024
4 FEB 2024, SARIKEI: Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik (BEE) merupakan salah satu program kesedaran pengurusan sisa yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Sarikei (MDS) setiap tahun. Timbalan Pengerusi MDS, Kaunselor Misiah Abu Seman berkata, ia adalah inisiatif yang memberi kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar dan pengurusan sampah yang baik dan betul. “Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya sisa elektrik dan elektronik kepada alam sekitar. “Ia juga bertujuan untuk mempromosikan kaedah pengendalian dan pelupusan sisa elektrik dan elekronik yang selamat dan mesra alam kepada masyarakat setempat. “Kempen ini juga merupakan seruan kepada rakyat untuk bersama rakyat, bersama-sama bertanggungjawab memastikan kelestarian alam sekitar di Sarawak,” katanya. Beliau berkata demikian ketika pada kempen BEE di pekarangan MDS, semalam. Misiah berkata objektif lain kempen tersebut adalah bagi mempromosikan aktiviti berkaitan dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar di kawasan pentadbiran MDS dan meningkatkan pematuhan kepada amalan hijau seperti tiada penggunaan straw plastik, beg plastik dan styrofoam.
Press Release, 08 February 2024
SELASA, 6 FEB 2024 – SARIKEI: Bandar Sejahtera bukan sekadar dinilai dengan kepesatan pembangunan dan ekonomi semata-mata, sebaliknya nilai bandar mampan menjurus kepada keperluan sosial penduduk menerusi pembinaan taman awam sebagai tempat rekreasi dan beriadah bersama keluarga. Justeru itu MDS telah membangunkan sebuah taman awam berkonsepkan perpaduan dengan menonjolkan keunikan & kepelbagaian kaum dalam rekaan gazebo yang mampu menjadi tarikan terbaru selain mempromosi perpaduan dalam kepelbagaian. Dalam pada itu MDS berharap agar orang ramai yang mengunjungi taman awam ini supaya sentiasa menjaga kebersihan dan tidak melakukan vandalisme agar kemudahan yang di sediakan selamat dan selesa untuk digunakan. Majlis Perasmian Perhiasan Tahun Baru Cina 2024 di Taman Awam, Jalan Nenas telah disempurnakan oleh Encik Andrew Wong Pak Ung yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii. Turut hadir ialah Pengerusi MDS, Kaunselor Wong Zee Yeng, Timbalan Pengerusi MDS, Kaunselor Misiah Abu Seman, Pemanca Chan Phan Chan, Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Masyarakat Kaum Cina dan beberapa kakitangan MDS.
Press Release, 08 February 2024
Selasa, 6 Februari 2024 – Sarikei: Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah menjalankan sesi Penilaian Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Tahun 2024 bagi Majlis Daerah Sarikei iaitu bagi indikator-indikator yang telah ditetapkan. Penilaian SPB-PBT adalah berdasarkan empat(4) kriteria utama seperti berikut yang merangkumi sebanyak 244 indikator/sub-indikator berkaitan seperti berikut: 1. Pengurusan (20%); 2. Perkhidmatan-perkhidmatan Teras (55%); 3. Pengurusan Pelanggan (10%); dan 4. Penyertaan Komuniti dan Pandangan Penduduk (15%). Antara lain objektif dan tujuan penilaian SPB-PBT adalah untuk: i. Menilai tahap penyampaian perkhidmatan PBT kepada rakyat, pelanggan dan pemegang taruh (stakeholders) melalui satu sistem penilaian yang seragam; ii. Menempatkan PBT pada tahap kedudukan yang sesuai (1 – 5 Bintang) berdasarkan markah penilaian; atau pematuhan indikator-indikator yang ditetapkan dan iii. Mewujudkan budaya kecemerlangan berteraskan prestasi melalui persaingan sihat di kalangan PBT. Penilaian SPB-PBT telah dilaksanakan oleh Pasukan Inspektorat dan Audit dari KPKT yang diketuai oleh Ybhg. En. Mohammad Khatib @ Fazri bin Amran, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pemantauan Pelaksanaan Dasar, JKT dan 5 ahli panel yang lain. Pengerusi Majlis, Ybhg. Kr. Wong Zee Yeng turut hadir semasa sesi penilaian, yakin dan berharap Majlis Daerah Sarikei bukan sahaja dapat mengekalkan pencapaian 5 bintang (wajaran markah: 90.80%) pada tahun lepas malah peratusan markah turut meningkat. Beliau menyatakan sistem penarafan bintang ini sangat bermakna supaya Majlis dapat melihat sendiri tahap prestasi dan kedudukan mereka berbanding dengan PBT seluruh Malaysia, khasnya di Sarawak supaya sentiasa meningkatkan usaha ke arah penyampian perkhidmatan yang berkualiti dan memenuhi jangkaan masyarakat. Turut hadir bersama, Timbalan Pengerusi Majlis, Kr Misiah Binti Abu Seman, Setiausaha Majlis, En. Sait Enggang, Pengerusi Jawatankusa Tetap Tujuan Am, Sosial dan Pembangunan Komuniti, Kr Iskandar Bin Naziri, Penolong Setiausaha, Cik Susanna Ubong selaku penyelaras Penilaian SPT-PBT dan semua Ketua Bahagian dan Ketua Seksyen, MD Sarikei.
Press Release, 09 May 2024
ISNIN, 6 Mei 2024 - Majlis Daerah Sarikei telah menganjurkan Program Team Building kakitangan bersama Ahli-Ahli Majlis di Hotel Kingwood, Sibu pada 4 Mei 2024. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi MDS turut meluangkan masa menghadiri program Team Building bersama 83 orang kakitangan dan 16 orang ahli majlis. Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya seperti Seize the Cup, Take Your Nut and Run, Through The Hole, Lava Walk, Radio Karat dan Larian Meniup Belon. Walaupun aktiviti yang dijalankan adalah secara “in house” namun cukup untuk menguji tahap kerjasama dalam kumpulan, ketahanan mental & emosi, komunikasi dan kemahiran serta kreativiti kumpulan dalam menghasilkan idea bernas. Pada sebelah malam turut diadakan Majlis Makan Malam sebagai penghargaan kepada kejayaan MDS mendapat Anugerah Emas dalam pertandingan Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) yang telah diumumkan sempena Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak pada 7 Februari 2024 di Borneo Convention Centre, Kuching. Dalam ucapannya, Puan Pengerusi, Kr. Wong Zee Yeng mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada warga kerja MDS, di atas kejayaan tersebut dan berharap kerjasama sebagai satu pasukan dapat diteruskan untuk setiap program/aktiviti yang melibatkan MDS. Turut hadir pada Majlis Makan Malam tersebut ialah Timbalan Pengerusi, Kr. Misiah bt Abu Seman, Ketua-Ketua Bahagian/Seksyen dan Ahli-Ahli Majlis, MDS.
Press Release, 09 May 2024
Selasa, 22 April 2024, 9:00 pagi– Majlis Daerah Sarikei (MDS) telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar Ke Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diketuai oleh Pengerusi Majlis, Kr. Wong Zee Yeng, Setiausaha Majlis, En. Sait Enggang serta 16 orang Ahli Majlis dan 7 orang kakitangan MDS. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mempelajari tentang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Tapak Pelupusan Bersepadu dan Kitar Semula di kawasan seliaan MBSP. Selepas sesi perkongsian, MBSP turut menjemput delegasi Majlis untuk melawat Upcyle Park dan Tapak Pelupusan Sampah milik MBSP. Melalui sesi perkongsian tersebut, Majlis turut bertukar pandangan dan idea untuk mengenal pasti cara pengurusan tapak pelupusan yang lebih efektif di Daerah Sarikei. MBSP juga turut berkongsi perjalanan menangani fenomena pembuangan sampah haram menggunakan sistem / projek Watch U. Majlis ingin mengucapkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai khususnya Ybhg. Dato’, Dato' Azhar B. Hj Arshad, Datuk Bandar MBSP, Yang Berusaha YDP En Mohd Naim Bin Mohd Ali, Penolong Pengarah Kanan, En Mohd Hafizi Bin Samsuari, Penolong Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-ketua Unit atas kesudian menerima rombongan MD Sarikei dan berharap semoga lawatan ini merupakan titik permulaan terjalinnya hubungan yang erat antara dua buah PBT. Tidak lupa juga kepada syarikat Greenviro Solutions yang telah membentangkan projek Integrated Solid Waste Management Center (ISWMS) At Ampang Jajar di tapak pelupusan MBSP.
Press Release, 09 May 2024
Rabu, 24 April 2024, 8:30 pagi – Majlis Daerah Sarikei (MDS) telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar Ke Majlis Daerah Kampar (MDKpr) diketuai oleh Pengerusi Majlis, Kr. Wong Zee Yeng, Setiausaha Majlis, En. Sait Enggang serta 16 orang Ahli Majlis dan 7 orang kakitangan MDS. Majlis merangkapkan setinggi penghargaan kepada Tuan Ahmad Suqairy bin Alias, YDP MDKpr, Puan Siti Azura Binti Haji Juki, Setiausaha Majlis serta barisan Ketua – Ketua Jabatan MDKpr kerana telah menerima delegasi dri MD Sarikei dengan begitu mesra dan dengan tangan terbuka. Tujuan lawatan Majlis ke MDKpr adalah untuk mempelajari sistem pengurusan sisa pepejal dan tapak pelupusan secara terbuka menggunakan sistem IWWB (Integrated Waste with Bridge). Majlis berhasrat untuk menimba ilmu daripada pihak MDKpr dalam usaha Majlis untuk meningkatkan perkhidmatan perbandaran yang lebih cekap dan berkesan dalam pengurusan sisa pepejal dan tapak pelupusan dimana ia merupakan perkhidmatan teras dalam sesebuah Majlis. MDKpr telah turut menjemput delegasi Majlis untuk melawat Tapak Pengurusan Pelupusan Sampah MDKpr dan melihat pengoperasian serta ke Tapak Penghasilan Kompos MDKpr dan Lorong Ilham Seni@Kampar. Pengerusi Majlis, Kr. Wong Zee Yeng dlm ucapan beliau berharap lawatan yang diadakan ini dapat memberi input yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan yang baharu kepada ahli rombongan meskipun ada perbezaan bidang kuasa berbanding dengan Pihak Berkuasa Tempatan di Sarawak.
Press Release, 09 May 2024
Rabu, 24 April 2024, 2:30 petang – Majlis Daerah Sarikei (MDS) telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Majlis Perbandaran Manjung (MPM) diketuai oleh Pengerusi Majlis, Kr. Wong Zee Yeng, Setiausaha Majlis, En. Sait Enggang serta 16 orang Ahli Majlis dan 7 orang kakitangan MDS. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengurusan lesen premis digital mypatil serta best practices khidmat pengurusan MPM. Majlis juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga kerja MPM atas kejayaan sebagai PBT Perbandaran Terbaik pada Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan pada 11-12 Mac 2023 yang lalu. Setinggi penghargaan kepada Yang Berbahagia En. Mohd Helmi bin Ariffin, Setiausaha Perbandaran MPM, Puan Noohayati binti Abdul Rahim, Pengarah Kanan Jabatan Khidmat Pengurusan, En. Mohd Sharil b Salihin, Pengarah Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan, En. Nafees bin Hashim, Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam, Ahli-ahli Majlis dan ketua – ketua Jabatan yang turut sama hadir ketika sesi perkongsian dijalankan. Semasa sesi perkongsian dijalankan, Ahli – Ahli Majlis MPM juga turut bertukar pandangan perihal pengurusan di Daerah Sarikei dan delegasi Majlis turut dijemput ke lawatan tapak / premis perniagaan di mana tatacara penggunaan sistem myPatil secara hands-on di lapangan dibuat dari awal hingga proses pengeluaran lesen/kompaun.
Press Release, 19 April 2024
19 April 2024 (JUMAAT) - Majlis Daerah Sarikei (MDS) telah menutup laluan masuk ke lokasi yang kerap dijadikan tempat pembuangan sampah secara haram menggunakan penghadang besi di tapak feri lama (Old Ferry Point) Sarikei. Meskipun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh MDS untuk menghentikan kegiatan pembuangan sampah secara haram di tapak feri lama (Old Ferry Point) Sarikei yang merupakan tanah milik persendirian sejak tahun lepas (2023) namun masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan sampah secara haram di lokasi tersebut. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah memasang kamera litar tertutup (CCTV) pada 16 Mei 2023 yang lalu, mendirikan papan notis amaran, menyediakan tong RORO, mengadakan program kesedaran cara pengurusan sisa pepejal dan melakukan pembersihan kawasan setiap kali mendapati ada sampah dibuang di lokasi tersebut. Majlis telah membelanjakan peruntukan yang agak besar bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan beberapa inisiatif seperti di atas. Namun semua usaha tersebut menemui jalan buntu apabila tong Roro telah musnah dibakar sebanyak dua (2) kali sepanjang tahun 2023 dan kamera litar tertutup (CCTV) telah dicuri pada 18 Mei 2023. Walau bagaimanapun, pihak Majlis sentiasa melakukan kerja-kerja pembersihan di tapak pembuangan sampah secara haram meskipun lokasi tersebut merupakan tanah milik persendirian. Pada Disember tahun 2023, pihak Majlis telah mengambil keputusan untuk memindahkan tong RORO kerana kegiatan laku musnah dan sekali lagi memasang papan notis larangan membuang sampah di lokasi tersebut. Oleh itu, pihak Majlis turut menyeru orang ramai supaya membantu membanteras aktiviti pembuangan sampah secara haram dengan merakamkan gambar atau video mengenai aktiviti itu bagi memudahkan pihak Majlis mengambil tindakan. Aduan atau laporan boleh dihantar melalui e-mel di alamat mdsarikei@sarawak.gov.my. Ini kerana, pembuangan sampah secara haram atau di tempat yang tidak sepatutnya hanya akan dapat dibanteras sekiranya penduduk setempat, orang ramai dan NGO berkerjasama dengan pihak Majlis dalam menangani isu ini. Masyarakat perlu sedar dan mengubah cara pemikiran kerana kebersihan dan kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan hidup khasnya generasi akan datang. Pengerusi MDS, Kr Wong Zee Yeng berterima kasih kepada Sarikei Fishing Club atas sokongan yang diberikan dalam kerja-kerja pembersihan tapak pembuangan sampah secara haram dan pemilik tanah kerana telah memberi kebenaran kepada MDS untuk memasang penghadang besi di laluan ke lokasi tersebut. Seterusnya Pengerusi MDS telah melakukan simbolik menyerahkan kunci penghadang besi kepada Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Jabatan Pertahanan Awam Sarikei, Sarikei Fishing Club dan wakilp pemilik tanah. Turut hadir bersama Kr. Misiah binti Abu Seman Timbalan Pengerusi Majlis, Encik Sait Enggang Setiausaha Majlis, Encik Mahmudin bin Narudin Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, KPL(PA) Mazlan bin Gapar APM Sarikei, Encik Michael Wong dari Sarikei Fishing Club dan Kr. Muhammad Marzidi bin Ahmad mewakili pemilik tanah.