Perasmian Bazar Ramadan Majlis Daerah Sarikei Tahun 2025

Disiarkan pada 04 Mar 2025
Sumber Berita: MEDIAS

Bazar Ramadan Majlis Daerah Sarikei tahun 2025 telah dibuka secara rasmi pada 3 Mac 2025. Perasmian Bazar Ramadan Majlis Daerah Sarikei tahun 2025 telah disempurnakan oleh Tuan Badjuri Bin Bidin, Timbalan Residen Bahagian Sarikei, mewakili Yang Berhormat Datuk Haji Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Kr. Misiah bt. Abu Seman, Puan Lolita Jaime Nicholas, Setiausaha Majlis Daerah Sarikei, Dr. Johny ak. Kelak, Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Cik Ainur Yasmin Binti Zaini, wakil Pegawai Daerah Sarikei. Ahli-ahli Majlis Daerah Sarikei, Ketua-ketua masyarakat, pegawai-pegawai kerajaan serta penjaja-penjaja Bazar Ramadan MDS . Sebagai galakan kepada penjaja untuk menjaga keselamatan dan kebersihan makanan, Tuan Badjuri bersama-sama dengan semua ketua jabatan dan Ahli-ahli Majlis telah mengedarkan apron kepada semua penjaja.

Acara tahunan ini disambut oleh ribuan orang yang datang ke bazar untuk mendapatkan dan membeli pelbagai jenis juadah makanan dan barangan perayaan, menjadikannya sebagai acara menarik dalam bulan Ramadan.
Bazar Ramadan ini beroperasi bermula pada 2 Mac hingga 30 Mac 2025 dengan jumlah 180 lot jualan menampilkan pilihan gerai makanan yang mengagumkan, menawarkan juadah tempatan dari nasi lemak, ikan panggang, ayam panggang, lauk pauk, kuih tradisional, sate, minuman dan bermacam-macam lagi.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada aktiviti pendidikan kesihatan, pihak Majlis juga ada mengedarkan risalah mengenai Larangan Penggunaan Plastik Straw & Styrofoam serta pengendalian makanan yang baik dan betul.
Selepas upacara perasmian, pihak MDS dengan Kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian menjalankan pemeriksaan kebersihan makanan jualan dan kriteria-kriteria yang perlu dipatuhi dalam penyediaan makanan.