LALUAN MASUK KE LOKASI KERAP BERLAKU PEMBUANGAN SAMPAH HARAM DITUTUP

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: MEDIAS

19 April 2024 (JUMAAT) - Majlis Daerah Sarikei (MDS) telah menutup laluan masuk ke lokasi yang kerap dijadikan tempat pembuangan sampah secara haram menggunakan penghadang besi di tapak feri lama (Old Ferry Point) Sarikei.

Meskipun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh MDS untuk menghentikan kegiatan pembuangan sampah secara haram di tapak feri lama (Old Ferry Point) Sarikei yang merupakan tanah milik persendirian sejak tahun lepas (2023) namun masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan sampah secara haram di lokasi tersebut.

Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah memasang kamera litar tertutup (CCTV) pada 16 Mei 2023 yang lalu, mendirikan papan notis amaran, menyediakan tong RORO, mengadakan program kesedaran cara pengurusan sisa pepejal dan melakukan pembersihan kawasan setiap kali mendapati ada sampah dibuang di lokasi tersebut. Majlis telah membelanjakan peruntukan yang agak besar bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan beberapa inisiatif seperti di atas.

Namun semua usaha tersebut menemui jalan buntu apabila tong Roro telah musnah dibakar sebanyak dua (2) kali sepanjang tahun 2023 dan kamera litar tertutup (CCTV) telah dicuri pada 18 Mei 2023. Walau bagaimanapun, pihak Majlis sentiasa melakukan kerja-kerja pembersihan di tapak pembuangan sampah secara haram meskipun lokasi tersebut merupakan tanah milik persendirian. Pada Disember tahun 2023, pihak Majlis telah mengambil keputusan untuk memindahkan tong RORO kerana kegiatan laku musnah dan sekali lagi memasang papan notis larangan membuang sampah di lokasi tersebut.

Oleh itu, pihak Majlis turut menyeru orang ramai supaya membantu membanteras aktiviti pembuangan sampah secara haram dengan merakamkan gambar atau video mengenai aktiviti itu bagi memudahkan pihak Majlis mengambil tindakan. Aduan atau laporan boleh dihantar melalui e-mel di alamat mdsarikei@sarawak.gov.my. Ini kerana, pembuangan sampah secara haram atau di tempat yang tidak sepatutnya hanya akan dapat dibanteras sekiranya penduduk setempat, orang ramai dan NGO berkerjasama dengan pihak Majlis dalam menangani isu ini. Masyarakat perlu sedar dan mengubah cara pemikiran kerana kebersihan dan kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan hidup khasnya generasi akan datang.

Pengerusi MDS, Kr Wong Zee Yeng berterima kasih kepada Sarikei Fishing Club atas sokongan yang diberikan dalam kerja-kerja pembersihan tapak pembuangan sampah secara haram dan pemilik tanah kerana telah memberi kebenaran kepada MDS untuk memasang penghadang besi di laluan ke lokasi tersebut. Seterusnya Pengerusi MDS telah melakukan simbolik menyerahkan kunci penghadang besi kepada Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Jabatan Pertahanan Awam Sarikei, Sarikei Fishing Club dan wakilp pemilik tanah.

Turut hadir bersama Kr. Misiah binti Abu Seman Timbalan Pengerusi Majlis, Encik Sait Enggang Setiausaha Majlis, Encik Mahmudin bin Narudin Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, KPL(PA) Mazlan bin Gapar APM Sarikei, Encik Michael Wong dari Sarikei Fishing Club dan Kr. Muhammad Marzidi bin Ahmad mewakili pemilik tanah.