PROGRAM KEMPEN MEMBASMI TIKUS
Disiarkan pada 12 Aug 2023
Sumber Berita: MEDIAS (Media MD Sarikei)
11 Ogos 2023, JUMAAT – SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei telah mengadakan Kempen Membasmi Tikus di Pusat Penjaja Sungai Rejang, Sarikei. Cr. Ling Chai Yun wakil kepada YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merangkap Ahli Parlimen P.208 Sarikei dan ADUN N.45 Repok telah merasmikan kempen tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya, Cr. Ling memberitahu MDS adalah antara 12 PBT seluruh Malaysia yang terpilih untuk melaksanakan Kempen Membasmi Tikus bagi tahun 2023 oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Malaysia.
Kempen ini merupakan salah satu wadah untuk memperingatkan masyarakat tentang bahayanya penyakit kencing tikus (leptospirosis), kepentingan mengawal populasi tikus dan juga perlunya Kawasan perniagaan bersih dan bebas tikus.
Turut diadakan ialah gotong-royong membersihkan Pusat Penjaja Sungai Rejang, pengedaran risalah/ poster kempen membasmi tikus dan ceramah kesedaran penyakit kencing tikus (leptospirosis) oleh Dr. Nelson dari Jabatan Kesihatan Bahagian Sarikei serta pengagihan perangkap tikus kepada penjaja.
Turut hadir ialah Cr. Misiah bt Abu Seman, Timbalan Pengerusi MDS, Cr. Law Hien Yii, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Pelesenan, Puan Lentina Maringgai, Ketua Bahagian Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar, Ahli-Ahli Majlis dan para penjaja.
