Pengarah Kanan PIP FAMA Lawat Tempat Cadangan Naiktaraf Pasar Tamu

Disiarkan pada 11 Jul 2023
Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

AHAD, 9 JULAI 2023

SARIKEI: Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Institusi Pemasaran (PIP) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Isa Hamzah telah melakukan lawatan penilaian cadangan menaik taraf Pasar Tamu Sentral Sarikei baru-baru ini.

Pihak FAMA telah disambut baik oleh pihak Majlis Daerah Sarikei (MDS) yang diketuai oleh Pengerusi MDS Wong Zee Yeng, Setiausaha MDS Sait Enggang, Jurutera Bobari Bilong Nelson dan Bahagian Kesihatan Perkhidmatan Bandar Lentina Maringgai serta Ahli-ahli Majlis MDS.

Difahamkan, permohonan untuk menambah baik pasar tamu ini telah dibuat oleh Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii kepada MDS sebelum ini.

Oleh itu, pihak MDS telah pun mengemukakan permohonan ke pihak FAMA bukan sahaja untuk menaik taraf pasar yang sedia ada tetapi juga menambah ruang perniagaan untuk kemudahan dan keselesaan penjaja pengunjung.

Penaiktarafan pasar tamu sentral amat penting kerana tempat ini selalu sesak terutamanya pada hujung minggu.

Secara amnya, program naik taraf pasar tamu ini adalah bertujuan untuk membantu kerajaan Sarawak untuk menaiktaraf pasar tamu yang didapati telah lama dan usang.

Kos penaik tarafan akan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan dan akan dilaksanakan oleh FAMA.

Turut hadir Pengarah FAMA Sarawak Ramli Mat Sani, Pengarah Cawangan Kompleks Pemasaran FAMA Muhd Nor Badlishah Ahmad Shahrin dan Jurutera Kanan FAMA Zaidi Elias. - EDISI UKAS