picture

News

 

Program Ziarah UKAS Platfrom Dekatkan Pemimpin Dan Rakyat

Posted on 27 May 2023
Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS
Jumaat, 26 Mei 2023

SARIKEI: Program Ziarah UKAS merupakan salah satu platform terbaik untuk mendekatkan pemimpin bersama rakyat, menurut Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Katanya, program seumpama ini juga merupakan aktiviti pemimpin turun padang untuk bersemuka dan menyampaikan maklumat serta dasar-dasar kerajaan yang sedang dan akan dilaksanakan.

Beliau berucap demikian semasa merasmikan Program Ziarah UKAS, Ngabang Gawai di Dewan Jalan Langsat Sarikei pada Jumaat.

Dalam ucapannya juga, Ahli Parlimen Sarikei itu turut mengingatkan semua Tuai Rumah agar sentiasa menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan ikhlas.

“Kepimpinan Tuai Rumah penting dalam membangunkan rumah panjang mereka, maka mereka harus memikul tanggungjawab sebagai perantara antara rakyat dengan agensi kerajaan.

“Saya juga menyeru semua penduduk rumah panjang saling berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak tanpa mengira ideologi politik untuk membangunkan Sarikei,” tegasnya lagi.

Berucap lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penduduk di situ yang telah menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

“Saya akan berusaha sedaya upaya memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan Sarikei demi kesejahteraan dan kemakmuran kita semua.

“Saya berharap kita semua dapat bergerak seiring dengan kerajaan GPS yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Premier Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg untuk melaksanakan transformasi pembangunan selain sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

“Semoga segala usaha kita ini akan memantapkan lagi kemasyuran kerajaan GPS,” katanya.

Pada majlis sama, Dato’ Sri Huang turut merasmikan Dewan Jalan Langsat yang turut dihadiri oleh JKKK Dewan Jalan Langsat dan Tuai-Tuai Rumah di kawasan Repok.

Hadir sama wakil Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Melati Set, wakil Residen Bahagian Sarikei Henry Gimong Sawat, Pegawai Daerah Sarikei Kathreen Lalai Eddie Saga, Jurutera JKR Bahagian Sarikei Kennedy Kedo, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei Thian Choon Kui, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Tang Ai Ling dan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei Kr Wong Zee Yeng. – EDISI UKAS