JUMAAT, 26 MEI 2023
SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei (MDS) terus komited dalam merealisasikan agenda dan aspirasi kerajaan negeri dengan menyediakan perkhidmatan yang efisien dan efektif kepada rakyat.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dalam ucapannya yang dibaca oleh Kaunselor Wong Zee Yeng memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan jentera kerajaan yang paling dekat dengan komuniti dan memainkan peranan penting menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menurutnya, MDS juga tidak ketinggalan dalam perkara ini dengan meningkatkan kesejahteraan sosio ekonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sekalung Budi dan Mantar Gawai Tahun 2023 anjuran Majlis Daerah Sarikei (MDS) pada Khamis.
Majlis yang diadakan secara sederhana itu telah berlangsung dengan meriah dengan pelbagai pengisian dijalankan.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Daerah Sarikei Sait Enggang, dan Pengerusi Penganjur Kr. Senin Ramping. – EDISI UKAS