Enam Peniaga Bazar Ramadan Sarikei Dikompaun |
Tarikh : 14 Apr 2022 Sumber Berita: Utusan Borneo |
Enam Peniaga Bazar Ramadan Sarikei Dikompaun SARIKEI: Enam notis kompaun atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan ke atas para peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan di Bazar Ramadan Sarikei, Taman Selera Baji Jaya di sini, pada Rabu. Pegawai Kesihatan Bahagian Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei Dr Emmanuel berkata, kompaun dikeluarkan hasil pemeriksaan di bazar tersebut pada operasi bersepadu keselamatan makanan yang dilancarkan pihak Pejabat Kesihatan Sarikei bersama dengan beberapa agensi penguat kuasa yang lain. "Antara kesalahan yang dikesan pada operasi ini adalah kegagalan pihak peniaga atau pengendali makanan yang mengabaikan kebersihan diri dan juga memakai cincin ketika berniaga. "Tujuan utama operasi ini dilancarkan adalah untuk memastikan peniaga bazar Ramadan mengamalkan kebersihan diri dan keselamatan makanan dengan berpandukan kepada keperluan peruntukan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009), di samping menyediakan makanan yang berkualiti kepada para pelanggan," kata Dr Emmanuel. Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus selesai melakukan pemeriksaan gerai-gerai di bazar Ramadan tersebut. Operasi bersepadu ini telah melibatkan penyertaan 20 anggota penguat kuasa Pejabat Kesihatan Sarikei bersama pegawai Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei dan Majlis Daerah Sarikei (MDS). Menurut Dr Emmanuel, dalam program ini juga pihak Pejabat Kesihatan Sarikei turut menyampaikan hadiah kepada pemilik gerai yang menunjukkan prestasi kebersihan premis yang baik dan memuaskan. "Dalam masa yang sama juga, pihak kita turut menyarankan kepada pengusaha premis perniagaan yang menyediakan makanan di rumah sebelum dijual di bazar Ramadan agar tidak memasak terlalu awal. "Adalah menjadi tanggungjawab kepada para peniaga untuk menjaga kebersihan diri dan juga bahan makanan yang disediakan," tegas Dr Emmanuel lagi |