Berita

Ahli Majlis Daerah Sarikei Perlu Komited
Tarikh : 04 Nov 2021
 

SARIKEI:  Peranan ahli Majlis Daerah Sarikei (MDS)  perlu terus diperkasakan melalui pelbagai pendekatan sejajar dengan fungsi mereka sebagai penggerak program pembangunan kerajaan di peringkat akar umbi.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata,  mereka yang dilantik harus berani melakukan perubahan ke arah kebaikan di samping melaksanakan amanah kerajaan dengan penuh integriti.

Menurutnya, komitmen jitu setiap ahli majlis membolehkan aduan dan permasalahan masyarakat diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah.

“Saya sedar tanggungjawab itu bukan mudah apatah lagi dengan peranan mereka sebagai mata dan telinga masyarakat.

“Bagaimanapun mereka mampu melaksanakan dengan baik sekiranya mempunyai sikap positif dan nilai tanggungjawab yang tinggi,” katanya ketika melakukan tinjauan ke atas perlaksanaan projek rakyat di kawasan DUN Repok, semalam.

Beliau berkata, Sarikei khususnya kawasan DUN Repok mengalami banyak perubahan dari segi pembangunan selepas diterajui Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah katanya, projek pembangunan dilaksanakan itu hasil daripada kesungguhan dan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam usahanya menyediakan kemudahan terbaik yang diperlukan oleh rakyat.

“Setakat ini, amat berpuas hati dengan prestasi ahli Majlis Daerah Sarikei. Rekod adalah sangat baik dan kesemua mereka menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi. Tahniah. Saya berharap prestasi yang baik ini terus dikekalkan.

“Yang penting kita mahu masyarakat merasa puas hati dan gembira dengan perkhidmatan yang disediakan oleh MDS.

” Keprihatinan ahli majlis juga boleh menjadi MDS sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang disegani dan dihormati,” katanya.

Hadir sama  Pengerusi MDS, Kaunselor Wong Zee Yeng.

Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak.